Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
RUU 355 sedang giat dirangka -

RUU 355 sedang giat dirangka

RANG Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 (RUU355) kini sedang giat dirangka.

Pindaan RUU355 yang mula diusulkan sejak 2016 itu diutarakan bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah dan sejak mula diketengahkan, ia menjadi topik perbahasan hangat oleh parti-parti politik.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas RUU 355 berkenaan dimuktamadkan kelak, ia akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.

“Sepanjang 2020 dan 2021, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355.

“Ia bagi melihat pelbagai aspek khususnya perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 tersebut lebih komprehensif dan seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuatnaik dalam laman sesawang Parlimen Malaysia.

Penjelasan beliau itu adalah bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam (Pakatan Harapan), Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) mengenai rang undang-undang itu.

Cadangan pindaan Akta 355 dibentangkan Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.

Bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.

RUU 355 itu bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk memperkasa dan menaikkan kedudukan mahkamah syariah agar setanding dengan mahkamah sivil. – SB