Semakan permohonan masuk universiti awam hari ini

 Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) Sesi Akademik 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf boleh dibuat mulai jam 12 tengah hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan media, berkata semakan boleh dibuat mulai hari ini hingga 25 September melalui pautan https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.

Katanya, pengesahan setuju terima tawaran dan surat tawaran pula boleh dicetak mulai esok hingga 25 September di laman sesawang UA, manakala surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya juga mulai esok selepas calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan.

“Hanya pemohon yang gagal mendapat tawaran boleh mengemukakan permohonan rayuan.

“Rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai 15 sehingga 25 September ini,” katanya.

KPT berkata, tawaran tempat bagi sesi akademik 2021/2022 adalah muktamad dan pemohon tidak dibenarkan membuat sebarang permohonan pertukaran program dan universiti.

Selain itu, ia turut memaklumkan dasar pemilihan rayuan tertakluk kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan.

Kenyataan itu juga menyebut, pemohon boleh mengajukan sebarang pertanyaan di talian 03-8870 8200 atau menghantar e-mel kepada [email protected]