[VIDEO] Rasa sebak tiba-tiba datang sebaik lihat wajah Tan Sri Muhyiddin

IBU tunggal yang videonya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin tular di media sosial semalam mengakui berasa sebak sebaik melihat wajah bekas Perdana Menteri itu.

Hasnah Mohamad, 60, berkata perasaan itu datang spontan dan kerana tidak dapat menahan perasaan itu dia menangis.

“Ketika beliau datang, saya memang rasa sangat sebak. Pada mulanya saya ingin bergambar sahaja, tetapi perasaan sedih itu tiba-tiba datang dan saya terus menangis.

“Saya terfikir kenapa, bukan kerana kami ini sama-sama orang Johor, tetapi kerana apabila saya tengok beliau, saya boleh nampak dia orang yang ikhlas.

” Bila kita bertentang mata dengan orang yang ikhlas, memang kita dapat rasa keihklasannya,” katanya.

Tambah Hasnah, dirinya tidak begitu sihat dan sepatutnya berehat ketika Muhyiddin melakukan lawatan tersebut.

Namun, dirinya tergerak hati untuk bekerja pada hari tersebut dan dirinya yang sudah lama berharap untuk bertemu dengan bekas Perdana Menteri itu tidak menyangka impiannya menjadi kenyataan.

“Kalau diikutkan saya tak bekerja kerana tidak sihat pada hari itu, tetapi Allah gerakkan hati saya untuk datang juga bekerja.

“Saya pada masa itu teruja dan bersyukur kerana akhirnya dapat berjumpa dengan bekas Perdana Menteri itu,” tambahnya.

Hasnah yang juga mempunyai seorang cahaya mata yang sudah berkahwin, benar-benar mendoakan kesejahteraan Muhyiddin dan mempunyai firasat yang kuat bahawa beliau akan sekali lagi menjadi Perdana Menteri dalam PRU akan datang.

“Saya doakan agar beliau sentiasa sihat dan dipanjangkan umurnya dan juga keluarga.

“Hati saya kuat mengatakan, kalau ada rezekinya, Insha Allah kita tunggu pilihan raya akan datang, saya tetap akan menyokong beliau,” ujarnya

Lawatan Muhyiddin ke AEON AU2 Setiawangsa, Taman Keramat, Kuala Lumpur, semalam, turut dikongsikan di Facebook rasmi beliau.

Katanya, lawatan tersebut bagi mendengar sendiri daripada mulut peniaga tentang pengalaman dan rintihan mereka dalam berhadapan cabaran mencari rezeki ketika musim pandemik.- SB