Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
'Jangan tergesa-gesa bentang RUU antilompat parti di DUN Pahang' -

‘Jangan tergesa-gesa bentang RUU antilompat parti di DUN Pahang’

KETUA Pembangkang Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya rang undang-undang (RUU) antilompat parti untuk negeri itu tidak dibentangkan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berpendapat, masih ada perkara yang perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah di masa akan datang.

“Taklimat yang diberikan hari ini perlu diperhalusi satu persatu (walaupun) secara umumnya tidak ada beza dengan RUU (antilompat parti) di negeri lain.

“Cuma di Pahang kita ada ADUN lantikan lima orang dan dia ada kuasa mengundi dalam dewan sebagaimana ADUN yang dipilih (melalui pilihan raya).

“Jadi di situ kita lihat ada keperluan untuk perhalusi (RUU),” katanya dalam sidang media bersama speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Mohd. Sharkar Shamsudin di Kuantan, hari ini.

Terdahulu Mohd. Sharkar bersama ADUN Pahang menghadiri sesi taklimat berkaitan RUU perlembagaan (pindaan) 2022 (antilompat parti).

Timbalan Presiden Pas itu juga memberi jaminan semua ADUN pembangkang di Pahang akan menyokong RUU itu selepas diperhalusi, terutama berkaitan ADUN lantikan.

“Sebab dia ada implikasi dari segi undang-undang, contohnya katakanlah kita lantik seorang ADUN lantikan daripada NGO, tiba-tiba lepas dilantik dia menyertai parti yang NGO-nya tak setuju.

“RUU belum ada terangkan hal itu, jadi kita perlu jelas dengan perkara tersebut,” katanya lagi, lapor MalaysiaKini.

Katanya lagi, lebih baik jika RUU itu dilengkapkan dan diperkemaskan terlebih dahulu sebelum dibentangkan.

Dalam pada itu, Mohd. Sharkar memberitahu draf mengenai RUU antilompat parti perlu dihantar ke pejabat speaker DUN sebelum 22 April ini.

“Sidang DUN akan diadakan pada 8 Mei. Jadi kalau nak bentang, draf RUU perlu dihantar ke pejabat saya 14 hari sebelum sidang bermula,” katanya.

Setakat ini hanya tujuh negeri yang telah meluluskan undang-undang antilompat parti.

Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN pada November 2022.

Negeri lain yang telah meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan ADUN melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.

Kerajaan Terengganu pada November tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat Pas dan UMNO di negeri itu.

Di peringkat Persekutuan pula, RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.