Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan perlu terbuka terima pandangan pakar -

Kerajaan perlu terbuka terima pandangan pakar

KERAJAAN perlu bersikap lebih terbuka dengan meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan terutama kalangan pakar dalam pelbagai bidang.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, pandangan pakar wajar dialu-alukan bagi mendapat idea baharu bagi menangani isu semasa.

Beliau percaya jika boleh meraikan kepelbagaian pandangan, kerajaan juga akan dapat manfaat hasil dialog dan percambahan idea.

“Namun paling penting, pandangan-pandangan yang berbeza itu bukanlah mengganggu ketenteraman awam.

“Pada masa sama, semua pihak perlu bertanggungjawab atas kebebasan bersuara dan jangan menyalahgunakan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persepsi yang timbul apabila kerajaan didakwa menyekat pihak tertentu yang tidak sehaluan termasuk tidak dibenarkan muncul di media mesra kerajaan termasuk membabitkan ahli politik dan penceramah.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, persepsi negatif yang timbul ketika ini mungkin kerana perbalahan secara umum antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Keadaan itu katanya, menyebabkan timbul persepsi negatif mengaitkan beberapa ahli politik dan penceramah yang condong kepada pembangkang termasuk dikatakan tidak dibenarkan muncul dalam media sama ada cetak atau televisyen.

“Tetapi bagi saya, ia cuma persepsi kerana setahu saya tiada arahan yang diberikan kepada media tempatan supaya tidak menjemput penceramah atau ahli politik cenderung pembangkang daripada muncul dalam media mereka. Itulah dia yang dikatakan persepsi,” katanya.

Namun ujar beliau, jika ada arahan tertentu mengenainya maka perkara demikian tidak sepatutnya berlaku.

“Kemungkinan bukan sebab mereka pembangkang, mungkin ada sebab lain.

“Tetapi penceramah dan ahli politik yang terkesan membuat kesimpulan mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput media adalah kerana mereka lebih mirip kepada pembangkang. Inilah juga yang dikatakan persepsinya,” katanya, lapor Harian Metro.

Justeru, katanya, apabila timbul persepsi negatif itu maka wajar Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Menterinya, Fahmi Fadzil mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan tiada arahan seperti digambarkan itu.

Katanya, jika tiada sebarang kenyataan dikeluarkan mengenainya maka persepsi negatif itu akan menjalar dan memberi impak yang tidak baik kepada kerajaan terutama Perdana Menteri.