HAMPIR 100 penyokong Datuk Seri Najib Razak berkumpul di luar Istana Kehakiman Putrajaya hari ini sebagai tanda sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang menghadiri prosiding semakan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan bersalah penyelewengan dana SRC International.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini mengekalkan sabitan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ketua UMNO cawangan Padang Jaya, Azmi Mohamad berkata, dia bersama tiga rakan telah tiba di Putrajaya dari Pekan, Pahang sejak semalam bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya tidak pernah terlepas menghadiri setiap perbicaraan Najib. Apa yang yang saya harapkan hari ini adalah berita gembira.
“Apapun keputusan yang bakal diputuskan, saya terima dengan hati terbuka dan percaya setiap yang berlaku ada hikmah,” kata pesara kerajaan itu.
Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi satu kes penyalahgunaan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.
Sabitan dan hukuman terhadap Najib kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Najib yang kini berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lalu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.