Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua lelaki didakwa 'jual' darjah kebesaran -

Dua lelaki didakwa ‘jual’ darjah kebesaran

DUA lelaki didakwa memperdaya seorang individu, menyerahkan wang berjumlah RM140,000 untuk mendapatkan gelaran Datuk Seri, yang tidak wujud tahun lalu.

Tertuduh, Rohaized Abd Razak, 49 dan Shahferoz Khan Mohamed Ayub Khan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah Mahkamah Majistret, di Shah Alam, tidak mengaku bersalah memperdaya individu berusia 58 tahun itu.

Mengikut pertuduhan, perbuatan terbabit dilakukan di sebuah restoran di pusat beli-belah di daerah Petaling, di antara 10 November hingga 10 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman, menawarkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin berjumlah RM15,000, dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam kepada Rohaized, Hazwan Hassan, memohon jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya perlu menanggung seorang isteri yang juga suri rumah, empat anak yang sedang belajar dan dua anak kecil.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Shahferoz Khan turut memohon jaminan rendah, dengan alasan anak guam memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan kes itu dilakukan.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan ikat jamin masing-masing RM9,000, dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mei ini.

Sementara itu, Polis Selangor dalam kenyataan berasingan memaklumkan, dua lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan penjualan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), membawa gelaran Datuk Seri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mereka ditahan pada 15 dan 17 Mac lalu dalam dua serbuan di sekitar Melaka dan Selangor, susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa pada Februari, yang mengalami kerugian sebanyak RM140,000.

Hussein berkata, kedua-dua suspek memperdaya mangsa untuk mendapatkan pengurniaan SPMS, dengan syarat mangsa membuat bayaran sumbangan sebanyak RM600,000.

“Untuk meyakinkan mangsa, suspek memberikan sepucuk surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah itu.

“Akibat terpedaya dengan penipuan dan surat yang diterima, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

“Namun, mangsa berasa ditipu apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah. Dia kemudiannya tidak menjelaskan baki bayaran sebaliknya membuat laporan polis,” katanya.

Hussein berkata, polis turut merampas surat yang dipercayai palsu dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam aktiviti penipuan itu. – Bernama