Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
DUN Johor guna pengimbang ganti istilah pembangkang -

DUN Johor guna pengimbang ganti istilah pembangkang

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor kini menggunakan istilah pengimbang bagi merujuk semua ADUN pembangkang di negeri itu bagi menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Khamis lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Iskandar Puteri.

“Sebagaimana yang telah dimulakan oleh ADUN Machap (Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi) semalam, kita akan menggunakan istilah pengimbang, lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristik untuk mewujudkan DUN yang lebih berwibawa.

“Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih,” kata Mohd Puad pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 hari ini.

Pada titah perasmian pembukaan, Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang berikutan peranan mereka yang disifatkan sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

Menurut Sultan Johor gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

Baginda bertitah mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.