Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
UPSR, PT3 tidak dikembalikan - Fadhlina -

UPSR, PT3 tidak dikembalikan – Fadhlina

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak merancang mengembalikan sistem penilaian pelajar melalui peperiksaan seperti sebelum ini, termasuk peperiksaan utama seperti UPSR dan PT3, kata menterinya Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, kementerian telah beralih kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) berikutan pemansuhan UPSR dan PT3, yang diduduki pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga sebelum ini.

Katanya, PBS ialah pendekatan terbaik untuk beralih kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan bagi murid serta dapat membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

“Oleh itu, KPM tidak bercadang untuk mewujudkan semula sistem peperiksaan pada masa ini,” katanya, lapor FMT.

“Sebarang keputusan untuk melaksanakan semula peperiksaan bergantung pada hasil laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.”

Fadhlina berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Parlimen oleh Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak), sama ada kementerian akan mewujudkan semula sistem peperiksaan.

Fadhlina berkata, PBS melibatkan pentaksiran berasaskan bilik darjah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik, selain menitikberatkan nilai murni, minat dan pembentukan sahsiah.

Awal bulan ini, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menggesa Putrajaya mengkaji semula pemansuhan UPSR, dengan berkata ramai ibu bapa merungut anak mereka kurang motivasi untuk belajar.

Pada April 2021, KPM mengumumkan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 bagi tahun tersebut. Pada Jun 2022, PT3 dimansuhkan.