Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Anwar jamin DKKP dibayar seperti biasa, kata Ahmad Samsuri -

Anwar jamin DKKP dibayar seperti biasa, kata Ahmad Samsuri

MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan, Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada Terengganu akan diteruskan sebagaimana kebiasaan.

Menurut beliau, keputusan itu diperoleh selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, beliau menyifatkan ia berlangsung positif dengan beberapa isu berkaitan rakyat dan negeri diketengahkan.

“Sebagaimana saya maklumkan dalam Facebook dan Instagram bahawa perbincangan ceria dan penuh keterbukaan.

“Berkenaan royalti (dikenali sebagai DKKP), ada juga dibincangkan dan akan diberikan sebagaimana biasa sebelum ini.

“Berapa banyak? Itu bergantung kepada harga minyak tahun sebelum ini, kita juga tidak tahu jumlahnya sekarang ini.

“Saya jangka mungkin sebelum akhir bulan ini duit itu akan masuk ke negeri Terengganu, dan kita akan tahu banyak atau sedikit,” katanya, lapor Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima DUN ke-14, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, dijangka nilai yang diterima mungkin agak banyak berikutan harga minyak yang tinggi tahun lalu.

“Peratusannya tidak dimaklumkan, cuma dikatakan sebagaimana sebelum ini. Insya-Allah, akan ada beberapa keputusan penting yang akan dilaksanakan YAB Perdana Menteri.

“Tunggulah, antara agendanya berkaitan pembangunan, kewangan dan semua itu dalam keadaan terbaik setakat ini,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah atas pelantikan aktivis kemanusiaan, Hussin Ismail sebagai Senator Dewan Negara hari ini.

“Beliau seorang yang mempunyai pengalaman yang lama dalam pentadbiran dan politik serta mempunyai kelayakan untuk membawa agenda ke dewan negara,” katanya.