[VIDEO] Muhyiddin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi sesi pendakwaan salah guna kuasa program Jana Wibawa.

Presiden Bersatu itu tiba pada kira-kira 8.40 pagi, manakala para penyokongnya telah berkumpul di luar kompleks mahkamah sejak kira-kira 8 pagi.

Turut kelihatan pemimpin PN yang lain termasuk Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr Radzi Jidin, Wan Ahmad Fyshal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin, 75,bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Razak berdepan pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah.

Siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).