TIADA sebarang kelulusan diberikan keatas aktiviti penerokaan di sekitar lereng Bukit Tabur, Ampang yang tular di media sosial sejak Sabtu, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata, hasil semakan dilakukan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak mendapati tidak ada sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti-aktiviti di tanah berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Amirudin menerusi satu ciapan di akaun Twitter miliknya pada Sabtu, dalam memberi maklumbalas berkenaan gambar keadaan lereng bukit berkenaan yang digondol tular di media sosial.
“Pihak penguatkuasa telah turun ke lokasi itu untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera itu.
“Kerja-kerja (penerokaan) itu tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri dan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Menjawab persoalan berkenaan penguatkuasaan, Amirudin memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguatkuasadan kini tertumpu kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di premis dan sebagainya.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan aduan dari orang awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu, ahli MPAJ, Anfaal Saari menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya mengesahkan aktiviti penerokaan itu merupakan pembersihan tanah persendirian berstatus pertanian tanpa kelulusan & Kebenaran Merancang oleh MPAJ.
Anfaal berkata sedemikian setelah melakukan lawatan ke kawasan hutan yang ditarah di sekitar Bukit Tabur.
Menurutnya, jentolak yang terlibat dalam aktiviti tersebut juga telah disita oleh pihaknya.
Terdahulu, tular gambar aktiviti penerokaan hutan di sekitar lereng Bukit Tabur pada Sabtu, sehingga membangkitkan rasa marah orang ramai terutamanya dari kalangan pendaki yang tidak berpuas hati apabila bukit berkenaan ditutup untuk sebarang aktiviti rekreasi, namun aktiviti penerokaan sedemikian tetap diteruskan.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.