POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan lokasi 14 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, usaha mengesan itu melibatkan kerjasama Polis Diraja Thailand dan Kementerian Luar Negeri (KLN).
Jelasnya, mengikut laporan polis terdapat 19 rakyat Malaysia terkandas di Thailand dan pihaknya sudah membawa pulang lima orang dan tinggal 14 lagi masih kita kesan lokasi.
“(PDRM) berunding supaya pihak berkuasa Thailand percepatkan proses bawa pulang, dan mengkoordinasi agar disegerakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Kementerian Luar mengenai isu kepulangan mangsa sindiket penipuan pekerajaan di KLIA pada hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohamad Ali Selamat.
Abd Jalil berkata, hasil siasatan awal mendapati, rata-rata mangsa diperdaya oleh sindiket dengan tawaran gaji lumayan sehingga AS$2,000 (RM9,600) sebulan.
Bagaimanapun, mangsa akan dibawa ke lokasi tertentu sebelum dipaksa bekerja sebagai scammer.
“Lima orang (mangsa) ini sebulan atau dua bulan di Thailand, mereka pergi semua dengan cara yang betul, ditempatkan di hotel di Bangkok, sampai sana mereka dibawa ke tempat sulit untuk bekerja sebagai scammer.
“Apabila bekerja di tempat sulit, mereka ditugaskan di pusat panggilan untuk menipu mangsa-mangsa lain dengan apa cara sekali pun.
“(Mereka ditawar) AS$2,000 sebulan. Jadi satu tanda tanya … kenapa tanpa kelulusan, tanpa apa-apa pengalaman, mangsa boleh ditawarkan dengan gaji sebegitu,” ujarnya, lapor Astro Awani.
Sehingga Februari tahun ini, tambah Abd Jalil, pihak telah menerima 267 laporan polis melibatkan 339 mangsa rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.