Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kisah ‘anak potong payudara ibu’ curi tumpuan Parlimen -

KISAH benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menceritakan pengalamannya, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata, wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh pihak polis.

“Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau… rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah,” katanya.

Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

“Terutama ‘soft drug’, bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal,” katanya, lapor Berita Bersatu.