Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dua cedera bas ekspres terbalik di Lebuh Raya Plus -

Dua cedera bas ekspres terbalik di Lebuh Raya Plus

SEORANG wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

— BERNAMA