BILANGAN mangsa banjir di Perak merekodkan sedikit peningkatan setakat jam 8 pagi ini apabila merekodkan 15 mangsa daripada tujuh keluarga membabitkan daerah Bagan Datuk.
Jumlah itu bertambah berbanding jam 6 petang semalam apabila seramai 14 mangsa daripada enam keluarga direkodkan membabitkan daerah sama.
Berdasarkan laporan harian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak, satu pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat di daerah Bagan Datuk jam 3 petang semalam, lapor Harian Metro.
Mereka yang terjejas terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Nipah Darat.
Dalam perkembangan sama, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tebing Tinggi di daerah Kampar ditutup secara rasmi jam 4 petang semalam.
Penutupan Dewan Orang Ramai Kampung Tebing Tinggi membenarkan baki tujuh mangsa daripada dua keluarga yang ditempatkan di PPS itu pulang ke kediaman mereka semula.
Di daerah Manjung, PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai ditutup secara rasmi jam 6 petang semalam. Ia diumumkan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Manjung yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah itu, Mohd Faizal Md Kasim.
Seramai 28 mangsa daripada tujuh keluarga yang menghuni PPS itu sejak Isnin lalu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing petang semalam.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.