PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Father Organic Farm di Batang Kali, pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu juga berharap keluarga mangsa tabah dengan ujian itu dan bersabar menghadapi saat yang mendukacitakan ini.
“Saya juga mendoakan kesembuhan segera kepada semua mangsa yang terselamat dan sedang menjalani rawatan di hospital.
“Marilah sama-sama kita berdoa agar semua mangsa yang masih hilang dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini memetik laporan BH Online.
Sehingga jam 1 tengah hari tadi, kejadian tanah runtuh itu mengorbankan 16 orang dan 17 lagi masih hilang.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terbabit dalam kerja mencari dan menyelamat khususnya pasukan keselamatan, agensi penyelamat dan pasukan perubatan yang bekerja keras bagi mencari dan menyelamatkan mangsa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.