PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini telah membuat pengumuman yang bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail Sabri telah mengumumkan bahawa kerajaan, melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN), bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif.
Jelas beliau, keputusan dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, Khamis lalu, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja yang sudah menerima vaksinasi lengkap.
“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya.
Tambah beliau, keputusan ini juga bakal menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).
Sehubungan itu, mulai 9 September 2021, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN, bagi aktiviti-aktiviti seperti berikut:
- Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung;
- Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio;
- Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin;
- Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin;
- Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin;
- Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam;
- Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis; dan
- Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.