Bangun, perkukuhkan ekonomi jadi fokus Malaysia

PEMBANGUNAN, pengukuhan serta menempatkan ekonomi negara pada kedudukan yang lebih kukuh dan kompetitif menjadi fokus utama Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Selain itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ini sejajar dengan kajian semula dasar dan strategi kerajaan yang dibuat semasa negara menghadapi cabaran sejak 18 bulan lepas.

Mustapa juga menyenaraikan beberapa keutamaan kerajaan yang dalam tempoh 10 tahun akan datang termasuk meningkatkan pendapatan;; menghapuskan kemiskinan mutlak dan mengurangkan jurang pembangunan antara negeri dan wilayah dan dalam masa sama memastikan pertumbuhan berkualiti yang mampan yang tidak menjejaskan persekitaran.

“Keutamaan lain adalah mewujudkan persekitaran dasar yang kondusif untuk sektor swasta, pelabur tempatan dan asing; pertumbuhan dan pembangunan yang inklusif serta menghasilkan lebih banyak perpaduan dan penyatuan dalam konteks Keluarga Malaysia; dan memastikan bahawa mekanisme penyampaian kerajaan ditingkatkan untuk memenuhi matlamat pembangunan kita,” katanya dalam ucaptama di webinar bertajuk “Rancangan Malaysia Ke-12: Membangunkan Negara dalam Semangat Keluarga Malaysia” hari ini.

Mustapa berkata, Unit Perancang Ekonomi telah melibatkan diri secara aktif dengan pelbagai pihak berkepentingan dari seawal April 2019 dalam menyiapkan RMK-12, yang akan dibentangkan pada 27 September ini.

Beliau menjelaskan, kerajaan kekal komited untuk memastikan dasarnya sentiasa mengambil kira keperluan memulihara kekayaan kepelbagaian bio negara demi kepentingan generasi akan datang.

“Seperti rancangan lima tahun sebelumnya, RMK-12 akan memberikan trajektori menyeluruh agenda pembangunan kerajaan. Ia menyediakan petunjuk arah kepada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pelabur dan masyarakat secara umum mengenai keseluruhan hala tuju kerajaan Malaysia,” jelasnya. – SB