[VIDEO] Salah siapa, Anwar atau Aminuddin?

RETAK menanti belah. Ketika pemimpin pembangkang peringkat pusat berhempas pulas cuba menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pemimpin peringkat bawah pula sibuk berperang sesama sendiri.

Jika itulah imej yang ditayangkan barisan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka sebenarnya menunggu masa untuk dihukum rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketika ini, kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dilihat goyah. Sudah ada cubaan merempuh dari dalam parti itu sendiri.

Barisan akar umbi PKR mendakwa mereka hilang kepercayaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat ini dan mendesaknya berundur.

Semalam, kumpulan enam daripada lapan cabang PKR Negeri Sembilan sebulat suara menyatakan bantahan kepada Aminuddin.

Mereka terdiri daripada ADUN Chuah, Yek Diew Ching dan pemimpin dari enam daripada lapan cabang PKR Negeri Sembilan iaitu Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

Dua lagi cabang PKR Negeri Sembilan adalah Tampin yang diketuai oleh Aminuddin dan Jempol.

Bantahan itu disuarakan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusof Tapar yang membaca kenyataan bersama dan memorandum kumpulan berkenaan.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Rasah, Datuk Ismail Ahmad; Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Datuk Dr S Streram; Ketua Wanita PKR Negeri, Amni dan Ketua Cabang PKR Jelebu, Yuz Mazmi Ahmad Yusuf.

Alasan mereka hanya bersandarkan dakwaan Aminuddin gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

Beliau dikatakan gagal mengurus, menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti. Jadi, rombakan segera perlu dilakukan dalam PKR Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan.

Peliknya, kumpulan itu menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedangkan keputusan memilih Aminuddin mengetuai Negeri Sembilan sebenarnya dibuat Presiden PKR itu sendiri.

Adakah itu langkah dua tujuan. Bak kata pepatah, ‘marah anak sindir menantu’.—SB