[VIDEO] Datuk Vida perkenalkan bakal suami baharu

HUBUNGAN jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) dengan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli bakal berakhir ke jinjang pelamin.

Tanpa berselindung, pasangan yang sedang dilamun cinta itu berkongsi rakaman panggilan video bagaimana mereka berhubung dan melepaskan rasa rindu. Rakaman video itu dimuat naik di Instagram Vida dan mula dikongsi pengikutnya.

Iqbal mendedahkan ciri-ciri yang ada pada usahawan terkenal itu yang membuatkan dia jatuh cinta selepas berkenalan sejak tujuh tahun lalu.

Di dalam rakaman video berdurasi 27 saat itu, Iqbal mengakui bahawa dia mahu menamatkan hubungan mereka dengan ikatan yang sah dan sudah bersedia melangkah ke fasa alam perkahwinan.

Walaupun belum memberikan sebarang petanda bila mereka akan disatukan, Vida juga berharap impian itu akan menjadi kenyataan, namun pada masa sama turut meluahkan rasa bimbang jika rumahtangganya akan gagal sekali lagi.

Perbezaan umur juga menjadi faktor pertimbangan Vida. Namun Iqbal dilihat bijak memujuk apabila dia menghargai usaha Vida sebelum ini yang sanggup melakukan ujian kesuburan beberapa kali bagi membuktikan yang beliau masih subur.

Sebelum ini juga Iqbal mengakui mereka hampir berkahwin pada tahun 2018 namun perancangan mereka tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.

Perkongsian rakaman panggilan video tersebut turut disambut baik dari rakan-rakan selebriti yang turut mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik untuk DSV dan Iqbal.

“Ya Allah.. bagilah kelancaran buat mereka berdua.. lahirkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi, kuatkan ikatan kesetiaan mereka.. kurniakan mereka zuriat yang solah dan solehah… amin amin..” kata Yana Shamsuddin di ruangan komen tersebut.

“Saya nampak keikhlasan dia dato jgn lupa jemput…,” kata Syuk Sahar di ruangan komen itu.

Selain itu, rata-rata orang ramai juga mendoakan mereka berdua supaya dipermudahkan urusan. – SB