KEPUTUSAN kes saman RM100 juta difailkan keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, berhubung kematian wanita itu, akan diketahui pada 16 Disember ini.
Peguam bela keluarga terbabit, Sangeet Kaur Deo, berkata keputusan itu akan diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menerusi aplikasi Zoom.
“Keputusan sepatutnya diputuskan pada 19 Oktober lalu, namun mahkamah menangguhkannya tanpa memberi alasan penangguhan dan tarikh baharu ditetapkan pada 16 Disember ini,” katanya kepada BH, hari ini.
Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan keputusan kes saman itu ke 19 Oktober atas permohonan keluarga berkenaan selaku plaintif kerana hujahan bertulis lewat dimasukkan dan diberikan kepada mahkamah.
Ia disebabkan seorang lagi peguam plaintif dan anak Sangeet Kaur disahkan positif COVID-19 beberapa minggu sebelum itu.
Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007.
Keluarga itu mendakwa, kematian model berkenaan pada 2006 menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, selain melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif berikutan meninggal dunia pada 2017.
Mahkamah menetapkan 20 Jun lalu untuk plaintif memfailkan hujahan dan 20 Julai lalu bagi defendan menjawab hujahan itu serta 4 Ogos lalu untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan balas.
Seramai 26 saksi plaintif, termasuk bapa serta anak sulung Altantuya memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 2019.
Defendan iaitu kerajaan mengemukakan tiga saksi dan Abdul Razak memilih tidak memberi keterangan bagi menjawab tuntutan saman terbabit.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.