TUJUH remaja lelaki yang dilaporkan terkandas ketika melakukan aktiviti pendakian dan riadah di Gunung Hitam dekat Sungai Lui, Hulu Langat, sejak petang semalam diselamatkan, awal pagi tadi.
Kesemua remaja berusia 18 tahun itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 500 meter daripada tapak perkhemahan mereka pada jam 1.51 pagi.
Mereka yang berasal dari Lembah Klang dipercayai melakukan pendakian melalui trek Kem Sungai Lawing untuk mandi sungai namun terkandas di lereng bukit selepas hujan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onnyang menerima laporan kejadian pada jam 4.15 petang bergegas ke lokasi.
“Kesemua mangsa dapat dihubungi dengan telefon dan memaklumkan mereka tidak mengalami sebarang kecemasan.
“Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat pada jam 1.51 pagi dan berjaya dibawa turun pada jam 5.59 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba I Shahrin Yusmar Mat Yusof memaklumkan operasi pencarian dimulakan pada jam 9.30 malam tadi oleh 36 anggota SAR dan lima penduduk tempatan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.