Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN adalah pilihan yang betul

PENGALAMAN serta personaliti dimiliki Tan Sri Muhyiddin Yassin sememangnya menjadikan beliau sebagai calon utama untuk dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, bekas perdana menteri itu memiliki keistimewaan yang jarang ada pada individu lain.

“Keistimewaan beliau adalah seorang yang tenang dan boleh menenangkan orang ramai ketika orang ramai berbalah semasa beliau menjadi Perdana Menteri,

“Selain itu, beliau wajar menjadi Pengerusi MPN kerana pengalaman beliau yang memimpin kerajaan semasa kerajaan sedang kelam kabut,” katanya ketika dihubungi wartawan SatuBerita.

Datuk Al-Sheikh juga berkata, bahawa Muhyiddin lebih gemar untuk sabar dan diam apabila ada perbalahan yang melibatkan isu-isu yang tidak sepatutnya.

“Diam itu bukan perkara yang mudah sebenarnya, terutamanya sekiranya kita ada sesuatu yang nak disampaikan tetapi kita memilih untuk diam untuk mengelakkan perbalahan, ianya merupakan satu polisi dan lebih dekat dengan Islam.

Beliau juga berpendapat bahawa, kerja-kerja bersama semua ahli majlis MPN akan lebih mudah kerana mereka sudah mengenali antara satu sama lain.

“Saya rasa lebih senang sebab mereka sudah kenal, sebagai contoh ahli-ahli politik ini lebih mudah menyelesaikan masalah sekiranya berkerja dengan orang yang dikenali berbanding berkerja dengan orang yang tak dikenali,” ujarnya.

Sementara itu, Penasihat PEMBELA, Ismail Mina Ahmad berkata, Muhyiddin mempunyai pengalaman yang cukup lama dalam pentadbiran dan membuat polisi serta melaksanakan program-program untuk masyarakat.

“Pengalaman beliau yang lama adalah sesuai dan melayakkan beliau untuk mengurus Majlis Pemulihan Negara,”

“Keduanya, sudah tentu pertimbangan ini telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, jadi kita seharusnya menghormati kemampuan beliau,” ujarnya kepada SatuBerita.

Beliau juga berpendapat bahawa semua orang ada kekurangannya, jadi sebagai rakyat haruslah memberi kritikan yang positif.

Tambahnya lagi, MPN wujud semasa kepimpinan Muhyiddin, jadi beliau mempunyai pemikiran dan visi semasa beliau mewujudkan jawatankuasa tersebut.

“Oleh itu, adalah wajar beliau menjadi Pengerusi MPN supaya visi beliau dapat diterjemahkan di dalam bentuk realiti,

“Ini adalah solusi yang mudah daripada kita mencari orang baru dan nak memikirkan tentang formula baru, ianya mungkin mengambil masa yang lama.

Ismail Mina turut berpendapat bahawa, mantan perdana menteri itu haruslah bersikap terbuka supaya dapat menerima pandangan yang baru. – SB