Banjir: Tiga kampung diarah sedia berpindah


PENDUDUK di tiga kampung di Rantau Panjang telah diarah bersiap sedia berpindah jika paras air melimpah melebihi paras bahaya.

Tiga kampung berkenaan iaitu kampung Tersang, Tok Deh dan Padang Licin telah dinaiki air malam tadi ekoran limpahan air Sungai Golok pada Sabtu.

Bercakap kepada Sinar Harian, Sekretariat Pengurusan Bencana Pasir Mas, Kapten (PA) Mohd Arif Mohd Zain berkata, paras air Sungai Golok sudah mencecah 8.10 meter dan berada di paras waspada.

“Sekarang ini penduduk sedang bersiap sedia untuk berpindah jika ia melebihi paras 9 meter,” katanya.

Menurut beliau, limpahan air tersebut datang dari Sungai Weng, Thailand dan masuk ke Sungai Golok.

“Di sana hujan lebat manakala cuaca di sini mendung.

“Jika air Sungai Golok mencecah 10 meter ia akan melimpahi bandar Rantau Panjang bila-bila masa sahaja,” katanya.