Shahidan Kassim

‘Malam kesedihan BN Arau’, semua bilik gerakan ditutup

PENYANDANG kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat pengumuman mengejutkan apabila mendedahkan kesemua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu ditutup.

Malah, kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, semua bendera parti diturunkan pada “malam kesedihan yang teramat sangat” itu.

“Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat. Semua bilik gerakan BN di parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.

“Kali pertama dalam sejarah,” katanya di Facebook, malam ini.

Walaupun tidak menyatakan punca sebenar di sebalik kejadian itu, ia dipercayai ada kaitan dengan pemilihan calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdapat spekulasi mendakwa bekas menteri besar Perlis itu adalah antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh UMNO dalam PRU pada 19 Nov ini.