Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bicara kes SM Faisal cederakan bekas isteri ditangguh 25 Nov -

Bicara kes SM Faisal cederakan bekas isteri ditangguh 25 Nov

PERBICARAAN kes ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya Emilia Hanafi, yang dijadualkan hari ini di Mahkamah Majistret di sini ditangguhkan ke 25 Nov.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili SM Faisal memberitahu mahkamah bahawa, peguam utama ahli perniagaan itu Datuk Akberdin Abdul Kader, tidak dapat hadir hari ini kerana mengalami masalah pernafasan selain turut mengemukakan sijil cuti sakit (MC), peguam berkenaan kepada mahkamah.

“Datuk Akberdin sepatutnya menyoal balas saksi pendakwaan ke-6, Elisa Nani Hanafi, yang akan dipanggil untuk memberi keterangan hari ini. Bagaimanapun, saya dengan rendah diri memohon supaya kes hari ini ditangguhkan,” kata Jagjit di hadapan Majistret Nadia Othman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata pihaknya bersedia untuk mendengar keterangan Elisa Nani, iaitu adik kepada Emilia hari ini.

“Pendakwaan telah menyerahkan salinan pernyataan saksi Elisa Nani kepada pihak pembelaan pada 30 Okt (semalam),” kata Zahida.

Jagjit kemudian mengesahkan pihaknya telah menerima salinan pernyataan saksi itu.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian adalah isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 Nov 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA