Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bersatu Tangga Batu tidak 'lumpuh' - Dr. Yadzil -

Bersatu Tangga Batu tidak ‘lumpuh’ – Dr. Yadzil

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tangga Batu tidak akan ‘lumpuh’, memandangkan pengumuman keluar parti dibuat bekas Naib Presidennya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen hanya bersifat peribadi.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, kenyataan itu juga tidak melibatkan jawatan kuasa bahagian dan sayap Bersatu Bahagian Tangga Batu.

Beliau menegaskan, Bersatu Melaka terus kukuh menyokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Semua ahli Bersatu Melaka kekal komited mempersiapkan jentera PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Kami berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan PN, waima siapapun calon yang akan dinamakan pihak pusat dalam masa terdekat.

“Bersatu Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mohd. Rafiq atas segala jasa yang telah dicurahkan. Semoga beliau terus maju jaya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini, memetik Utusan Online.

Semalam, Mohd. Rafiq yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan disandangnya.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selepas kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi yang tidak mencalonkannya di kerusi Parlimen Tangga Batu, sebaliknya ditawarkan kerusi lain termasuk di Parlimen Bagan Datuk.

Beliau turut menafikan dakwaan akan bertanding sebagai calon Bebas atau ditawarkan oleh mana-mana parti untuk bertanding, tetapi akan terus membantu rakyat melalui badan bukan kerajaan (NGO).