Calon BERSATU DUN Perak belum dibincangkan

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan meletakkan calon bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, perkara itu perlu dibincangkan terlebih dulu pada peringkat tertinggi sebelum sebarang keputusan dibuat susulan tindakan Kerajaan Perak membubarkan DUN mereka berkuat kuasa hari ini.

“Belum lagi…,” katanya ringkas ketika diajukan soalan oleh media selepas merasmikan Persidangan Penuaan 2022 di sini, hari ini lapor BH Online.

Program ini dianjurkan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Media hari ini melaporkan, Perak membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembubaran dilakukan selepas mendapat warkah pengisytiharan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam yang memberi perkenan untuk membubarkan DUN berkuat kuasa hari ini.

Katanya, ia selaras dengan Perkara 32(2), Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Ketika ditanya sama ada akan mempertahankan kerusi Parlimen Jeli, Kelantan, beliau mengambil sikap mengunci mulut dan enggan memberi sebarang kenyataan.

Pada PRU-14, Mustapa memenangi kerusi Parlimen Jeli mewakili Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau kemudiannya melompat parti menyertai BERSATU dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).