KASA teliti naik taraf LRA di sempadan negeri

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang meneliti langkah menaik taraf keupayaan kapasiti loji rawatan air (LRA) sedia ada di setiap kawasan sempadan bagi meningkatkan bekalan air ke negeri berhampiran.

Langkah dijangka dapat mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan air berbanding pendekatan membina loji baru.

Selain itu, menurut Menteri KASA, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man perkara ini sekali gus dapat memberi manfaat kepada dua negeri sekali gus.

“Daripada kita membina satu loji baharu yang memakan kos besar lebih baik kita naik taraf loji sedia ada (di kawasan sempadan) untuk dibekalkan ke kawasan negeri-negeri yang berhampiran. 

“Kita bukan hanya berkongsi air terawat termasuk juga sumber air sebab air di sempadan ini perlu dimanfaatkan antara dua negeri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di LRA Kampung Telok Panji, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya dalam perbincangan dengan kerajaan Terengganu dan Kelantan untuk meneroka potensi LRA sedia ada di kawasan sempadan seperti di Besut, Terengganu yang boleh menyalurkan bekalan air ke jajahan Pasir Puteh. – SB