Hospital di Lembah Klang berdepan masalah mayat pesakit Covid-19 warga asing belum dituntut

PULUHAN mayat warga asing yang meninggal du­nia akibat Covid-19 masih belum dituntut kedutaan masing-masing dan ‘terbiar’ di beberapa hospital kerajaan.

Di Hospital Serdang sahaja terdapat kira-kira 20 mayat war­ga asing ditempatkan dalam bilik mayat kerana urusan mendapatkan kebenaran daripada pihak kedutaan masih tergendala dan masalah yang sama dipercayai turut berlaku di beberapa hospital lain di Lembah Klang.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber, masalah yang sama juga dipercayai turut dihadapi di beberapa buah hospital di Lembah Klang.

Angka tersebut dikhuatiri terus meningkat sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Katanya, lambakan mayat warga asing yang tidak dapat diuruskan itu berpunca daripada sikap kedutaan warga ­asing terbabit mengambil mudah urusan pengesahan, dokumentasi dan pengurusan mayat.

“Keengganan majikan bertanggungjawab turut menjadikan keadaan bertambah rumit. Di Hospital Serdang sahaja terdapat kira-kira 20 mayat warga asing belum dituntut oleh waris dan masalah yang sama dipercayai turut berlaku di beberapa hospital lain di Lembah Klang.

“Kemungkinan angkanya mencecah ratusan, sekali gus menunjukkan ia terbiar,” katanya baru-baru ini.

Keadaan itu diburukkan de­ngan kematian yang ramai dalam kalangan warga asing dengan terbaharu sebanyak 53 kematian yang disahkan akibat Covid-19 setakat 1 September lalu dengan 34 orang mati di rumah manakala selebihnya meninggal dunia di hospital.

Terbaharu, statistik Kementerian Kesihatan mencatatkan daripada 16,942 kes kematian akibat Covid-19 sehingga kelmarin, kira-kira 2,000 membabitkan warga asing.

‘Lambakan’ kematian dalam kalangan warga asing itu memberi implikasi kepada tugas hospital serta sukarelawan di unit forensik selain masalah penempatan mayat bagi kes selain Covid-19.

Kata sumber itu, kebanyakan mayat warga asing yang belum diuruskan melibatkan rakyat Bangladesh dan Indonesia.

“Mungkin mereka mahu uruskan sekali gus, namun pendekatan itu menyebabkan berlaku lambakan mayat dalam bilik mayat. Kita perlu faham urusan ini bukan melibatkan sehari dua,” jelas sumber itu.

Katanya, kelewatan pejabat kedutaan menyelesaikan dokumentasi urusan kematian itu mungkin disebabkan perlu menghubu­ngi waris.

“Isu lambakan mayat atau jenazah akan lebih sukar jika pengesahan membabitkan untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana setiap kedutaan perlu kesahihan mangsa yang didakwa menjadi rakyat negara itu,” katanya.

Malah, katanya, setiap ke­du­taan mengambil ma­sa kerana ada waris sukar dihubungi.

Mengikut prosedur, untuk pengebumian setiap mayat rakyat asing termasuk tanpa waris dan PATI perlu mendapat pengesahan kedutaan negara masing-masing, majikan serta pihak berkuasa negara ini.

Buat masa ini, antara hospital yang menempatkan mayat mangsa Covid-19 adalah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Shah Alam dan Hospital Sungai Buloh.

Dalam pada itu, sumber sama memaklumkan, terdapat mayat terpaksa diletakkan di atas lantai ekoran ruang pe­nyimpanan pada satu-satu masa penuh.

Ada juga mayat yang disimpan terlalu lama sehingga sebulan malah sampai setahun.

“Jika warga asing yang mempunyai waris di negara ini, urusan pengendalian atau pengebumian mayat atau jenazah lebih mudah kerana waris boleh membuat pengecaman dan pengesahan,” jelasnya.