Khidmat Hadi, 2 yang lain sebagai Duta Khas disambung

MESYUARAT Kabinet pertama yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bersetuju untuk menyambung khidmat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri.

Pada masa sama, Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan, Kabinet juga bersetuju menyambung pelantikan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China.

Selain itu, khidmat Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur turut disambung.

“Mesyuarat Kabinet pertama yang berlangsung pada 1 September 2021 telah bersetuju untuk terus menyambung pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas ke Asia Barat; King Sing sebagai Duta Khas ke China dan Richard Riot sebagai Duta Khas ke Asia Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua Duta Khas Perdana Menteri itu telah dilantik sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hadi telah dilantik pada 2 April tahun lalu dan pernah menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.

Beliau juga pernah tersenarai antara 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies berpusat di Jordan. – SB