KKMM akan cadang industri kreatif dibenar beroperasi semula

0
182
Tan Sri Annuar Musa

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mencadangkan industri kreatif diberi kelonggaran untuk kembali beroperasi semula selepas sekian lama dihentikan ekoran perlaksanaan Peringah Kawalan Pergerakan sejak tahun lepas.

Menurut Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, cadangan berkenaan bagi memulihkan industri tersebut selepas terjejas teruk akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Jelas beliau, cadangan SOP untuk industri kreatif turut akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

“Pendukung industri kreatif begitu lama terkesan dengan PKP. Tiba masanya kita bentang kepada MKN untuk segera pertimbangkan kelonggaran dengan SOP tertentu, khasnya bagi mereka yang sudah diberi dua suntikan vaksinasi.

“Semoga ada berita baik buat mereka tidak lama lagi,” tulisnya di Twitter.

Jun lalu, tinjauan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) mendapati kira-kira 93% daripada pemuzik, pelukis dan penggiat industri kreatif lain menerima kesan negatif akibat PKP, dengan 70% daripadanya hilang punca pendapatan.

Susulan itu, kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) memperuntukkan RM89.2 juta kepada penggiat industri kreatif.

Rentetan itu, pada 5 Ogos lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, RM54 juta daripada jumlah itu sudah diagihkan kepada penggiat industri kreatif negara. – SB