Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
KPM perlu jalin kerjasama dengan kumpulan pelbagai latar belakang -

KPM perlu jalin kerjasama dengan kumpulan pelbagai latar belakang


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mestilah bekerjasama dengan pelbagai kumpulan sokongan bagi memastikan kemajuan sistem pendidikan negara, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata sektor pendidikan tidak seharusnya mendiskriminasi berdasarkan latar belakang, supaya lebih banyak bilangan dan kepelbagaian idea boleh dimanfaatkan untuk menambah baik sektor itu.

“Ketika ada sesetengah orang yang mengatakan pendidikan kita ke belakang, saya terus mengatakan bahawa kita tidak ke belakang, tetapi kita dalam keadaan stagnant (tiada pergerakan) untuk beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami sebagai satu kementerian tidak boleh melakukannya sendiri. Kami memerlukan sokongan dari semua pihak di luar sana yang mahu bekerjasama dengan kami,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun Teach for Malaysia (TFM) Ke-10, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Radzi berkata TFM telah melaksanakan usaha yang baik untuk 10 tahun ini dengan mewujudkan kerjasama dengan 893 sekolah di setiap negeri dengan merekrut, melatih dan menempatkan ratusan guru di sekolah-sekolah berkenaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. 

Beliau berkata terdapat lebih lima juta pelajar di seluruh negara melibatkan kira-kira 10,000 buah sekolah dengan lebih 500,000 orang guru yang membentuk ekosistem pendidikan yang kompleks.

“Kami (pihak kementerian) mempunyai sekolah dari Perlis ke Sabah, di kawasan luar bandar dan bandar serta kawasan terpencil dan kami mempunyai guru dari semua latar belakang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengasas TFM Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz menzahirkan kegembiraan baginda terhadap kemajuan yang telah dicapai organisasi itu, yang telah berkembang sebagai satu gerakan dengan 474 orang pemimpin kompeten yang berusaha ke arah menamatkan ketidaksamaan pendidikan.

— BERNAMA