Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kenyataan Zafrul kejatuhan nilai ringgit tidak beri kesan mengelirukan - Anwar -

Kenyataan Zafrul kejatuhan nilai ringgit tidak beri kesan mengelirukan – Anwar

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara, sebagai mengelirukan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kejatuhan nilai ringgit memberi kesan secara langsung kepada rakyat apabila kos barangan keperluan terus melonjak naik.

“Tengku Zafrul memberikan kenyataan yang sangat mengelirukan, nak kata dia tak faham, dia faham tetapi saya tidak faham kefahaman dia.

“Nilai ringgit jatuh merudum, bukan jatuh, tapi merudum… dia jawab ‘tidak memberikan kesan kepada ekonomi negara, kerana keutuhan ekonomi’.

“Saya tidak pernah urus bank, adalah pengalaman sikit sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Development Community IMF World Bank. Jatuh begitu dalam suasana tidak ada krisis serantau adalah suatu yang parah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Muktamar Sanawi ke-51 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang hari ini.

Rabu lalu, Tengku Zafrul antara lain memaklumkan Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, rakyat menderita akibat kos sara hidup meningkat, dan tidak beri kesan bagi seorang menteri.

“Kos makanan, barang keperluan asas, kos sara hidup meningkat dan import kos pertanian negara kita sudah mencecah RM65 hingga RM70 bilion. Ia meningkat kerana nilai ringgit jatuh jadi harga kian lebih mahal maka kos makanan meningkat.

“Dia jawab tiada kesan? Ya, tidak ada kesan bagi pak menteri dan pengerusi eksekutif bank dulu kerana gajinya RM9 juta setahun. Tapi orang lain nak makan apa?” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut kata Anwar, jawapan Tengku Zafrul itu tidak bertanggungjawab dan bukan sebagai seorang Menteri Kewangan.

“Jawapan (Tengku Zafrul) sangat tidak bertanggungjawab. Bukan sebagai seorang Menteri Kewangan. Tidak layak seorang menjadi Menteri Kewangan kalau mengetepikan permasalahan ekonomi yang besar dengan melecehkan sebagai tidak ada kesan.

“Penipuan kepada rakyat, ini sebagai contoh jika bicara soal kelestarian,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Jelasnya, prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain.

Nilai ringgit ujarnya menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak 2022, dan situasi sama dicatatkan mata wang serantau dan negara maju lain.