MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba yang memulakan tugas secara rasmi di Putrajaya hari ini menegaskan, tumpuan kementeriannya adalah untuk mengetengahkan bidang inovasi dalam bentuk ekonomi.
Ini termasuk perancangan mengenai kaedah inovasi yang boleh meningkatkan ekonomi masyarakat selain memberi sumbangan kepada dunia dengan menjadi pengeksport dalam bidang sains dan teknologi, katanya.
“Kita juga akan meningkatkan penglibatan individu yang memerlukan khidmat Mosti (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi) dalam memastikan kecemerlangan dalam bidang inovasi, sains dan teknologi,” katanya dalam sesi interaksi bersama Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan warga kementerian secara maya.
Dr Adham bersama 29 menteri dan 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Isnin lalu.
Ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Adham memegang jawatan Menteri Kesihatan, manakala Khairy Jamaluddin pula mengemudi Mosti.
Dalam senarai kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Ogos lalu, Dr Adham dan Khairy dikekalkan dalam kerajaan tetapi bertukar portfolio. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.