Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Jurujual didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur -

Jurujual didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur

SEORANG jurujual telefon bimbit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur, minggu lalu.

Tertuduh, Low Jen Fung, 18, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia yang berasal dari Alor Gajah dekat Melaka, didakwa meraba mangsa berusia 16 tahun 11 bulan bagi maksud seksual di sebuah premis di Plaza Sungai Udang, dekat Melaka, pada 8 September lalu, pukul 3.04 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan, lapor Harian Metro.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim manakala peguam Cassian Anthony mewakili tertuduh.

Terdahulu, pendakwaan tidak menawarkan jaminan dan berhujah bahawa pertuduhan dihadapi tertuduh adalah serius kerana membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Namun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan memandangkan tertuduh mempunyai hubungan istimewa (kekasih) dengan mangsa.

Peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tertuduh masih muda dan tinggal bersama ibu bapanya serta baru dua minggu bekerja.

Katanya, bapa tertuduh bekerja sebagai juruelektrik dan pendapatannya tidak tetap.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Mohd. Sabri membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan dia atau keluarganya tidak boleh mengganggu atau menghubungi mangsa serta keluarga gadis itu atau jaminan dibatalkan.

Tarikh 12 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan perubatan mangsa.