TMJ bimbang JDT musnah jika tinggalkan kelab itu

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih memikirkan kemungkinan untuk meninggalkannya kelab bola sepak itu yang dipimpinnya sejak 2014.

Tunku Mahkota Johor dalam laman Instagram miliknya memberitahu, keputusan itu masih dalam pertimbangannya sama ada benar-benar mahu meninggalkan JDT atau sebaliknya.

Tunku Ismail berkata, antara yang menjadi kebimbangan sekiranya meninggalkan skuad Harimau Selatan itu segala-galanya akan musnah.

“Saya sudah lapan tahun mengurus JDT, secara jujur saya letih sikit. Tetapi jikalau saya angkat kaki segala-galanya akan musnah, pemain akan pergi, penaja akan lari dan kakitangan staf juga akan pergi.

“Jadi saya 50/50, tetapi dengan secara jujur, saya letih sikit kerana saya mengurus bola sepak oleh kerana minat, tetapi saya tidak perlukan bola sepak,” kata Tunku Ismail, hari ini.

Tangkap layar instagram milik Tunku Ismail menjawab pertanyaan pengikutnya berkenaan akan meninggalkan JDT atau sebaliknya.

Tunku Mahkota Johor berkata demikian menjawab pertanyaan seorang pengikut laman sosial Instagram miliknya yang bertanyakan sama ada betul baginda akan meninggalkan JDT.

Menurut Tunku Ismail, dalam hidup seseorang individu, mereka seharusnya mencari sesuatu yang baharu apabila tidak lagi berasa gembira melakukan perkara yang sudah menjadi kebiasaan.

“…dan dalam hidup apabila kita tidak berasa gembira buat sesuatu, kita harus cari benda lain. Saya pun banyak tanggungjawab lain, jadi buat masa ini 50/50,” jelas Tunku Mahkota Johor.

Pada 25 Ogos lalu, Tunku Ismail meninggalkan komen seolah-olah baginda akan meninggalkan JDT yang telah menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.