POLIS berjaya merampas dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM115,490 dalam satu operasi di Sentul, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju telah bertindak menahan dua lelaki di sebuah kondominium di Jalan Ampang pada jam 1.40 petang.
“Penahanan itu membawa kepada rampasan sepeket bahan plastik yang mengadungi dua peket lutsinar berisi bahan disyaki dadah.
“Dadah itu disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 6.34 gram dan sepeket plastik lutsinar mengandungi 110 biji pil berwarna hijau disyaki ekstasi dengan anggaran berat 42.96 gram.

“Turut dirampas satu beg berwarna merah yang diisi satu balutan salotape membaluti kertas foil warna oren mengandungi ketulan mampat daun-daun kering disyaki jenis ganja, dengan anggaran berat 1.038 kilogram,” katanya memetik laporan Utusan TV.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, pada pukul 2.35 petang hari yang sama, pasukan operasi melakukan tindakan susulan untuk memeriksa sebuah kereta di kondominium yang sama.
Menurut Ashari, pemeriksaan itu membawa kepada penemuan 45 balutan salotape mengandungi ketulan mampat daun-daun keringa yang disyaki jenis ganja seberat 44.085 kilogram.
Jelas beliau, polis turut menahan seorang lagi lelaki di kawasan Sentul kerana dipercayai turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tersebut.

“Dadah yang dirampas dipercayai boleh nemampung keperluan penagih-penagih sekitar Kuala Lumpur lebih kurang 9,150 orang.
“Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 32 tahun dipercayai aktif dalam sindiket itu sejak awal November 2021.
“Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.
Ashari menambah, kesemua suspek telah ditahan reman selama lima hari bermula semalam hingga 11 September untuk siasatan lanjut.
Jelas beliau, kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.