DBKL rugi RM700,000 landskap rosak dipijak pengunjung ketika sambutan merdeka

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerugian RM700,000 selepas pokok yang ditanam sebagai landskap di sekitar ibu negara rosak dipijak pengunjung ketika perarakan sempena Hari Kemerdekaan ke-65 Rabu lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata kerosakan itu disebabkan kehadiran luar biasa pengunjung pada sambutan terbabit yang turut mengundang kesesakan teruk di sekitar ibu negara.

Mengakui cabaran perlu dipikul pihaknya, beliau berkata DBKL kini mencari jalan untuk menguruskan perkara itu supaya ia tidak berlaku pada masa hadapan.

“Oleh kerana kehadiran pengunjung begitu ramai dan luar biasa ketika menyertai perayaan Hari Kebangsaan 2022, jadi berlaku kesesakan yang menyebabkan beberapa kawasan landskap di pertengahan jalan berdekatan Dataran Merdeka rosak.

“Sebanyak RM700,000 kerugian dicatatkan membabitkan pokok hiasan yang rosak, Ini risiko yang kita hadapi apabila menerima pengunjung yang ramai.

“Namun, kita sedang mencari jalan bagaimana nak menguruskan perkara ini dan ia cabaran yang perlu kita tangani,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Media anjuran DBKL, malam tadi, lapor BH Online.

Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial mengenai kesan kerosakan pada landskap selepas dipijak pengunjung yang menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 di ibu negara.

Mahadi berkata, selain kerosakan pokok pada landskap, pengunjung yang ramai sewaktu sambutan Hari Kebangsaan Rabu lalu juga meninggalkan banyak sampah seperti botol minuman yang dibuang di tepi jalan termasuk kawasan landskap.

Justeru, pihaknya akan menjalankan bedah siasat berhubung kejadian yang berlaku sehingga mengakibatkan DBKL terpaksa menanggung kerugian.

“(Bedah siasat) ini akan membabitkan dari segi persiapan, usaha mengendalikan dan membantu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) menguruskan Hari Kemerdekaan ini selain dari segi pengunjung.

“Itu semua kita akan kaji dalam mesyuarat ‘post mortem’ (bedah siasat) pada minggu hadapan dan dari situ, kita akan keluarkan tindakan dan penyelesaian jika kita akan mengadakan acara lain di Dataran Merdeka pada masa akan datang,” katanya.