
SEBAIK selesai istiadat angkat sumpah di Istana Negara awal petang tadi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terus bergerak ke Putrajaya untuk melapor diri di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau tiba di bangunan KKM dari Istana Negara kira-kira jam 5.15 petang, dijadual menghadiri mesyuarat dengan kepemimpinan kanan KKM.
Ketibaan Ahli Parlimen Rembau itu disambut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan warga kerja kementerian.
Khairy yang berpakaian baju Melayu hitam kemudian memasuki pejabatnya di aras 13 selepas mengimbas pas kerja.
Turut melapor diri di KKM hari ini ialah Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang.
Khairy yang sebelum ini memegang portfolio Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dilabel sebagai antara menteri yang menunjukkan prestasi baik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu awal petang tadi, Khairy dan barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – SB