Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Seorang maut, 4 cedera kereta terhumban ke laut -

Seorang maut, 4 cedera kereta terhumban ke laut


SEORANG lelaki maut dan empat rakannya cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam laut di Jalan Persiaran Pantai Kuala Perlis-Sungai Baru, Simpang Empat di sini malam tadi.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata dalam kejadian pada 11 malam itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu menuju ke arah Sungai Baru sebelum terbabas di kiri jalan dan melanggar benteng batu pemecah ombak sebelum terjunam ke dalam laut.

“Seorang penumpang yang berada di bahagian hadapan dikenali sebagai Ahmad Baihaqi Mahamad Shafie, 25, tercampak keluar dari kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan empat lagi mangsa berusia antara 17 hingga 24 tahun yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada kesan brek dan tidak melibatkan kenderaan lain…ketika kejadian, hujan turun dan keadaan jalan basah,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA