Oleh MOHD LAZIM ENDUT
KERAJAAN Terengganu akan membuka semula sektor pelancongan di negeri ini bermula 1 September ini dengan bersyarat iaitu hanya membabitkan individu yang telah lengkap vaksinasi daripada kalangan rakyat tempatan.
Sehubungan itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, setiap pengusaha dan penggiat pelancongan mestilah mematuhi prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
Sambil memberi amaran tegas, Ariffin berkata, semua pihak terbabit mestilah mengutamakan tahap keselamatan pengunjung sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan.
Menurut beliau, pembukaan sektor pelancongan ini adalah membabitkan pulau peranginan terkemuka termasuk Pulau Kapas di Marang, Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.
Sebenarnya kata beliau, pulau-pulau tersebut telah dibuka awal bulan ini kepada individu yang lengkap vaksin, namun tiada aktiviti ‘snorkeling’ dan ‘diving’ menyebabkan banyak pengusaha memilih untuk tidak beroperasi.
“Justeru bermula 1 September aktiviti-aktiviti tersebut akan dibenarkan, namun penggiat dan pelancong perlu mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Solat Hajat Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Terengganu Dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kuala Terengganu, malam tadi.
Menurut Ariffin, antara SOP yang ditetapkan ialah hanya pelancong dalam negeri dan mereka yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan dan pemilik premis perlu mematuhi protokol kesihatan umum bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.
Ujarnya, selaras dengan kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan di Terengganu, inap desa dan hotel turut dibenarkan beroperasi.
Namun begitu menurut Ariffin, zoo, muzium, taman tema dan galeri seni masih tidak dibenarkan beroperasi.
Menurut beliau, Pulau Perhentian juga tidak dibenarkan dan masih ditutup kerana berlaku kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk di pulau berkenaan sejak minggu lalu.
Sementara itu, Ariffin memberitahu, berdasarkan data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu mengenai kadar purata penginapan hotel bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Terengganu berada pada tangga ketiga iaitu 35 peratus, selepas Sarawak (62 peratus) dan Perlis (42 peratus).
“Sementara kadar penginapan hotel bagi begeri ini pula dipacu oleh program kuarantin hotel-hotel bagi pekerja sektor minyak dan gas yang perlu dikuarantin sebelum dan selepas pulang dari pelantar.
“Lebih kurang 16 daripada 36 hotel di Terengganu yang berdaftar dengan MAH terlibat dalam program kuarantin berkenaan,” jelas beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.