GENG Seri yang disyaki terlibat dalam 11 kes pecah rumah disekitar Kuala Besut, Terengganu tumpas selepas tertangkapnya tiga ahli kumpulan berkenaan yang semuanya merupakan penagih dadah tegar.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata suspek lelaki berumur 24 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Besut pada Ahad dan semalam.
“Polis menahan suspek utama yang berumur 28 tahun pada 14 Ogos lepas setelah menerima satu laporan kejadian pecah rumah di Kuala Besut pada hari sama.
“Susulan tertangkapnya suspek utama yang dikenali dengan panggilan Seri, polis berjaya memberkas dua lagi rakannya semalam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Besut di Kampung Raja, Besut.
Abdul Rozak berkata polis turut berjaya merampas pelbagai jenis barangan dipercayai yang dicuri suspek seperti komputer riba, telefon bimbit, seketul logam dipercayai emas dan sebuah motosikal.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah serta ujian awal saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Mereka kini direman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 379 A dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala bagi kesalahan berkaitan dadah pula disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1957, katanya. -BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.