Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
6 nelayan tangkap siput secara haram ditahan -

6 nelayan tangkap siput secara haram ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menahan enam nelayan Kedah kerana menjalankan aktiviti penangkapan siput retak seribu secara haram di perairan Perlis, semalam.

Pengarah, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata mereka ditahan jam 11.45 malam ketika APMM giat menjalankan rondaan di sekitar perairan berhampiran kawasan Sungai Padang.

Katanya, penahanan dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang awam melalui Pusat Operasi APMM Zon Maritim Kuala Perlis mengenai pencerobohan yang dilakukan oleh bot menangkap siput.

“Suspek dikesan menggunakan bot Kelas A dan menyedari kehadiran bot ronda APMM sedang menghampiri mereka, awak-awak bot itu segera memotong tali tangguk yang digunakan untuk menangkap hasil siput retak seribu bagi menghapuskan bukti atau mengelak peralatan disita,” katanya, lapor BH Online.

Katanya, bot itu kemudian ditahan pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika dari barat Sungai Padang.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan berpangkalan di Jeti Kuala Kedah dan didapati menceroboh masuk ke perairan Perlis untuk menangguk siput retak seribu.

“Suspek yang terdiri daripada seorang tekong dan lima awak-awak berusia antara 21 hingga 50 tahun ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Zon Maritim Kuala Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, rampasan membabitkan bot dan hasil tangkapan siput bernilai lebih RM 100,000.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 29 akta yang sama kerana memusnahkan atau meninggalkan apa-apa ikan, mamalia akuatik, penyu, peralatan menangkap ikan, bahan letupan, racun, pencemar, perkakas, alat yang dilarang atau apa-apa benda lain dengan tujuan mengelak penyitaannya atau pengesanan apa-apa kesalahan.