Polis Terengganu nafi ratusan motor RXZ hilang

Polis Terengganu menafikan berita tular di media sosial baru-baru ini yang mendakwa kononnya ratusan motor ‘hilang’ semasa berlangsung program RXZ Members 4.0 2022 di Kuala Nerus, Terengganu Sabtu lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata pihaknya hanya menerima dua laporan berhubung kehilangan motosikal pada hari tersebut yang sama sekali jauh berbeza dengan jumlah yang ditularkan oleh warganet.

“Cuma dua buah sahaja motosikal yang (dilaporkan) hilang dan ada satu kemalangan maut melibatkan peserta program RXZ Members yang dalam perjalanan dari Selangor ke Kuala Terengganu.

“Jangan cepat percaya dengan media sosial kerana boleh pening kita dibuatnya,” katanya selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada Selasa, lapor Bernama.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Majlis itu menyaksikan seramai 668 orang penerima termasuk anggota, pegawai dan pesara polis dari Terengganu dianugerahkan pingat tersebut sebagai penghargaan di atas jasa bakti serta pengorbanan mereka kepada negara.