
AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengucapkan takziah kepada waris Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia, Datuk Seri Lajim Ukin, yang meninggal dunia pagi tadi.
Muhyiddin menyifatkan pemergian bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sebagai satu kehilangan yang besar.
Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, Allahyarham adalah ahli politik yang berpengalaman dan banyak berjasa dalam mencorakkan hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dihargai seluruh kepemimpinan dan ahli parti.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian orang tersayang. Semoga tabah melalui saat mendukacitakan ini.
“Sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU, Allahyarham adalah sahabat dan rakan seperjuangan yang saya kenali sejak sekian lama serta pernah bersama-sama berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini.
“Mewakili parti dan Perikatan Nasional (PN), saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jasa bakti Allahyarham sepanjang bergelar AMT dan Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia,” kata Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, menerusi laman Facebook rasmi beliau.
Lajim yang juga bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.23 pagi tadi selepas dirawat akibat jangkitan COVID-19 sejak hampir dua minggu lalu, di Hospital KPJ Kota Kinabalu, Sabah. – SB