Bekalan ubat Covid-19 mencukupi – KP Kesihatan

BEKALAN ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh negara masih cukup dan memenuhi keperluan semasa.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bekalan ubatan itu diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

Jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan COVID-19 telah meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

NOOR HISHAM

“KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini.

“Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

Noor Hisham menambah, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

Selain itu, jelas beliau, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

Tambahnya lagi, KKM juga telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

“KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

“Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya. – SB