ASET Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencukupi dan akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan terkini dan selari dengan perkembangan teknologi
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu antara aspek yang diberi perhatian utama oleh Kementerian Pertahanan dalam memastikan kesiapsiagaan negara berada di tahap yang terbaik dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.
“Dari segi persenjataan ada evolusinya, teknologi sentiasa berubah, jadi sebab itu kita perlu tambah baik aset dari masa ke masa dan perkara itu sedang dilakukan oleh pihak kementerian,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di Bera,Pahang pada Sabtu.
Turut hadir Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Selain penambahbaikan aset, Ismail Sabri sebelum ini yang merupakan Menteri Pertahanan berkata, aspek kebajikan anggota tentera juga perlu dititikberatkan, sebagai contoh kerajaan sedang mengkaji skim pencen kepada anggota yang bersara awal.
Ketetapan tentera buat masa ini ialah pencen hanya diterima oleh mereka yang berkhidmat selama 21 tahun, menyebabkan mereka yang memilih untuk berpencen awal tidak menikmati manfaat itu, sehingga dalam sesetengah kes, menyebabkan ada yang terus kehilangan mata pencarian selepas tidak lagi berkhidmat.
Beliau berkata, kajian mengenai pemberian pencen itu sedang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Markas ATM, kerana ia perlu merangkumi semua aspek termasuk kadar bayaran secara pro rata mengikut tempoh perkhidmatan dan sebab mereka berpencen awal.
“Kajian dilakukan supaya mereka yang berhenti misalnya 15 tahun atau 18 tahun berkhidmat diberikan pencen. Namun kita perlu lihat sebab mereka berhenti, adakah ia disebabkan masalah disiplin dan ini antara perkara perlu diperhalusi. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.