DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan berhubung aduan tatakelakuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan ketiga dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan dibahas seramai 18 Ahli Parlimen.
Hamzah pada sesi penggulungan perbahasan RUU itu berkata, pihaknya mengadakan libat urus dengan seramai 1,059 orang berhubung IPCC selain menganjurkan sesi taklimat bersama pimpinan tertinggi PDRM, persatuan bekas polis, wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pelbagai pihak lain.
Menurutnya, sesi taklimat turut diadakan bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
“Ada yang membangkitkan mengapa perlu lantik pegawai polis sebagai ahli suruhanjaya. Mereka berkelayakan namun bukan bermakna hanya pegawai polis dilantik, mungkin tiada langsung pegawai polis dilantik.
“Ini bagi memberi ruang bahawa pegawai polis juga boleh dilantik. Jadi tidak timbul kita hanya nak melantik pegawai polis kerana antara tujuh ahli suruhanjaya itu, mungkin ada pegawai polis atau mungkin tiada langsung,” katanya, lapor BH Online.
Sebelum ini, ketika sesi pembentangan RUU itu, Hamzah berkata, penubuhan IPCC akan mempertingkatkan integriti pasukan polis, mengurangkan salah laku dalam kalangan anggota polis selain meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis.
Katanya, RUU IPCC itu memberi fokus kepada penubuhan suatu badan untuk melaksanakan siasatan manakala tindakan dan hukuman tatatertib masih dikekalkan dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) mengikut peruntukan sedia ada di dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia digubal selepas dibuat perbandingan antara Independent Office for Police Conduct (United Kingdom) dan Independent Police Complaints Council (Hong Kong), yang mana negara itu mempunyai badan pemantau bebas.
“Ia hanya menjalankan kuasa siasatan ke atas salah laku, dan hasil dapatan akan dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diambil tindakan,” katanya.
Jelasnya, keanggotaan IPCC terbuka kepada semua individu, termasuk penjawat awam dan pesara polis, yang dipilih berdasarkan kelayakan pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan apa-apa perkara lain yang akan ditentukan kemudian.
Bagi membolehkan siasatan IPCC dijalankan secara inklusif dan komprehensif, katanya, wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) boleh dijemput untuk bekerjasama dengan pasukan siasatan IPCC, terutamanya bagi kes kematian dalam tahanan.
“RUU ini juga memperuntukkan supaya semua kes kecederaan serius, kematian dan jenayah seksual terhadap orang dalam tahanan atau jagaan polis, dilaporkan kepada IPCC untuk tindakan lanjut.
“Ia sekali gus memastikan siasatan jenayah yang telus dapat dijalankan oleh polis, meningkatkan integriti pasukan, menghapuskan persepsi negatif orang awam dan mengelakkan penyiasatan berat sebelah bagi menutup kesalahan polis,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.